Pusat khas - Latih wanita Afrika Selatan buat manik |
Pusat khas - Latih wanita Afrika Selatan buat manik
Wanita tidak dapat dapat lari daripada naluri semula jadi ingin kelihatan menarik
dengan menggayakan pelbagai perhiasan diri. Malah perhiasan seperti manik sudah
menjadi budaya masyarakat benua Afrika terutama Afrika Selatan.
Menyedari hiasan manik bukan sekadar diminati masyarakat rantau itu, kerajaan Afrika
Selatan mengambil inisiatif memperkenalkan keunikan hiasan manik dengan melatih
wanita-wanita Afrika Selatan dalam bidang kraf tangan.
Ini bagi membolehkan mereka menghasilkan kerja tangan yang memerlukan kreativiti,
kesabaran dan ketelitian serta produk yang bermutu.
Justeru, satu pusat latihan khusus untuk pengeluaran hiasan manik ditubuhkan pada
tahun 2000 di tanah seluas 350 meter persegi di Cape Town, Afrika Selatan
Pusat tersebut menempatkan 40 orang wanita untuk menghasilkan perhiasan mengikut
permintaan dan selera pelancong sekali gus bertindak sebagai ibu pejabat pusat latihan
tersebut.
Terdapat tiga lagi pusat serupa termasuk dua di Wilayah Gauteng yang melatih wanita
berusia antara 18 dan 35 tahun. Malah terdapat wanita yang lebih dewasa dan
mempunyai minat mendalam serta daya seni tersendiri terlibat di pusat tersebut.
Projek unik ini dijayakan dengan kerjasama sektor swasta dan sehingga kini seramai
200 orang termasuk 110 orang kurang upaya berjaya dilatih untuk memenuhi pasaran
yang bertambah baik dari tahun ke tahun.
``Tujuan saya menyertai `Travel Mart Komanwel Kuala Lumpur 2004' ini juga adalah
untuk mencari pasaran di negara ini khususnya pengedar.
``Saya percaya dapat memasarkan perhiasan manik di rantau ini serta antara Negaranegara
Komanwel kerana kami bersedia menerima tempahan mengikut paten serta
warna kegemaran atau mengikut peredaran fesyen terkini,'' kata Pengarah Jualan
Tempatan dan Antarabangsa Designer Beaded Jewellery, Kholofelo Mabusela.
Beliau serta pegawai Bahagian Pelancongan Afrika Selatan ditemui di Pusat Pameran
Mines Resort City, baru-baru ini.
Beliau sendiri telah pergi ke dua wilayah di Jepun dan Washington D.C., Amerika
Syarikat (AS) tahun lalu serta akan berada di Dubai selepas pameran di Kuala Lumpur.
Dua lagi bandar di AS, Maryland dan New York City akan dikunjungi tahun ini bagi
mempromosi rekaan manik-manik dari Afrika Selatan sebagai usaha meluaskan
pasaran antarabangsa.
Kholofelo menceritakan Pusat Perhiasan Manik tersebut menerima pengunjung yang
bukan sahaja mahukan barangan atau perhiasan yang telah siap dipamerkan, malah
wanita-wanita di pusat itu dapat menghasilkan tempahan seperti cincin, anting-anting,
kalung yang akan dapat disiapkan dalam masa sehari dengan harga antara AS$45 dan
AS$190.
``Kami gembira menerima tempahan dan sanggup mengikut kehendak pelanggan
asalkan mereka beritahu apa yang diinginkan. Bagaimanapun jika yang rumit perlu
mengambil masa lebih sedikit iaitu kira-kira sehari setengah dan harganya lebih antara
AS$200 dan AS$250 tetapi pasti memuaskan hati,'' tambah beliau.
Beliau menjelaskan mempromosi barangan dan perhiasan manik adalah salah satu
cara kerajaan untuk menggalakkan kaum wanita terlibat dalam sektor pelancongan
perniagaan di negara itu.
Sehubungan itu, kata beliau, wanita yang menjalani latihan akan diberi insentif iaitu
elaun latihan setiap dua minggu selain disediakan makan minum serta tempat
penginapan.
``Hasil tempahan atau apa sahaja yang berjaya dijual adalah hak mereka dan cara ini
amat memuaskan hati wanita-wanita yang tidak jemu-jemu menghasilkan perhiasan lain
dari yang lain untuk pelanggan,'' tambah beliau.
0 komentar:
Post a Comment