Kraftangan tarik pengunjung
Kraftangan tarik pengunjung |
Produk kraftangan seperti gubahan bunga kering, rantai seramik
dan manik serta ukiran kayu oleh usahawan bumiputera menjadi tarikan pengunjung
pada pameran dan jualan yang diadakan sempena program komuniti, Utusan
Malaysia/Mingguan Malaysia Kita Bersama@Shah Alam sepanjang 10 hari di sini.
Program yang bermula dari 26 Oktober hingga 4 November itu memberi peluang
kepada mereka mempromosi hasil kerja tangan masing-masing kepada penduduk di
sekitar bandar raya ini.
Pameran dan jualan produk kraftangan tersebut yang diadakan di Kompleks PKNS di
sini, menempatkan kira-kira 10 pengusaha kraftangan tempatan yang kebanyakannya
terdiri daripada bumiputera.
Pengusaha kraftangan gubahan bunga kering, Esiah Kaimun, 52, berpendapat program
itu banyak membantu mempromosikan produk kraftangan beliau kepada penduduk di
bandar raya itu.
Katanya, produknya mendapat perhatian daripada pelbagai golongan masyarakat
terutamanya wanita yang gemar dengan hiasan bunga-bunga kering berwarna-warni.
Esiah yang mengusahakan syarikatnya sendiri, Laman Kraf Tani Enterprise di Sungai
Lang Tengah, Banting dekat sini berkata, dia hanya menggunakan bahan-bahan
semulajadi seperti bunga, daun pisang, pelepah pokok pinang dan daun pandan yang
diambil di sekeliling rumahnya.
Bahan-bahan tersebut dikeringkan menggunakan ketuhar mikro atau mesin inkubator
sebelum digubah di atas kertas dan disapu dengan pengilat dan kemudian dibingkaikan
untuk dijual.
Jelasnya, perusahaan kraftangannya itu bermula daripada minat yang mendalam
terhadap bunga-bungaan dan sedikit demi sedikit dia menghasilkan produk yang
semakin mendapat perhatian ramai.
Bagi Fauzi Tahir, 30, pula, minatnya terhadap seni seramik dimanfaatkan kepada satu
bentuk perniagaan yang semakin diminati ramai terutama golongan muda.
Dia yang menghasilkan aksesori seperti rantai dengan loket yang diperbuat daripada
seramik, mengambil peluang untuk mengetengahkan bakat sedia ada melalui program
tersebut.
“Saya suka mencipta benda baru jadi saya lihat bahan seperti tanah liat boleh
dimanfaatkan untuk menghasilkan aksesori tidak kira untuk lelaki mahupun wanita.
“Saya juga rasa amat bertuah kerana berpeluang terlibat dalam program akhbar ini
kerana sedikit-sebanyak dapat membantu mengembangkan bakat dan minat saya ini, "
katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
0 komentar:
Post a Comment