Manik pinakol keunikan budaya Rungus |
Manik pinakol keunikan budaya Rungus
DI rumah panjang itulah dia dibesarkan dan
belajar mengenal erti hidup. Rumah panjang
yang terletak di Kampung Tinangol, Kudat,
Sabah itu memang terpencil dan sukar
untuk dijejaki jika tiada pemandu pelancong
yang membawanya. Namun di situlah
tempat Erllin Agunchai, 25, membesar dan
menghabiskan hampir seluruh waktu
siangnya membuat kraftangan yang
berasaskan manik.
Berpusat di sebuah bengkel yang didirikan
khas, setiap hari Erllin bersama dua anak
perempuannya, Elvera, 6, dan Elfey Ferra,
2, akan membuat kraftangan manik. Di
situlah juga manik yang telah dicantumkan
menjadi barangan perhiasan akan dijual
kepada pelancong yang sampai ke
kampung mereka.
Sejak berusia 13 tahun lagi Erllin telah membuat gelang maniknya sendiri, namun
gelang maniknya itu musnah dalam kebakaran yang berlaku di kediamannya beberapa
tahun lalu.
Bukan dipaksa atau terpaksa, minat membuat kraftangan manik sememangnya terbit
secara semula jadi dalam diri ibu muda ini. Sebab itulah dalam sehari Erllin mampu
menghasilkan lebih dari tiga perhiasan yang diperbuat daripada manik. Sebagai suri
rumah dan pengusaha manik sepenuh masa, Erllin mampu memperoleh pendapatan
sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan.
Jumlah itu bukan sahaja cukup untuk menampung kehidupan malah memberi Erllin
peluang merencanakan masa depan anak-anaknya dengan menabung pendapatan
yang diperoleh hasil dari menjual manik kraftangan beliau.
Ia menjadi pelengkap kepada pendapatan suaminya, Edmund Polipus, 30, yang
bertugas sebagai guru untuk menampung kehidupan mereka berempat.
Bukan Erllin sahaja, malahan neneknya, Ombuong Musodong, 65, ibu saudara, sepupu
serta rakan-rakan Erllin turut terlibat dalam bisnes yang sama dengannya. Pendek kata
setiap wanita di kampung itu semuanya memiliki kemahiran membuat kraftangan manik
dan meneruskan tradisi itu secara beramai-ramai.
“Kenangan yang paling tidak dapat dilupakan sejak memulakan perusahaan ini ialah
apabila mendapat tempahan pinakol (manik yang dibuat berbentuk rantai) sebagai
cenderamata untuk seorang paderi.
“Ia dijual dengan harga RM150, yang paling mahal pernah saya jual sepanjang terlibat
dalam bidang ini,” jelas Erllin yang ditemui di bengkel kraf Kampung Tinangol, barubaru
ini.
Erllin berkata, hampir 100 wanita di kampungnya akan bekerjasama membuat manik
sekiranya mendapat tempahan. Mereka tidak pernah bersikap mementingkan diri
sendiri malah setiap keuntungan dibahagikan sama rata sesama mereka.
“Paling menarik, para suami akan turut menolong kiranya para isteri tidak mampu
menguruskan tempahan yang banyak,” ujar Erllin dalam loghat Sabah yang mudah
difahami.
Setiap corak yang dihasilkan adalah mengikut kreativiti mereka sendiri. Perhiasan
seperti rantai dibahagikan beberapa nama seperti litai Sabah, litai Venusak, tinutu
(corak tradisi), inavol dan pinakol.
Menurut Erllin, pinakol paling sukar dihasilkan kerana ia memerlukan ketelitian serta
kesabaran yang tinggi.
“Pinakol ini pula terbahagi dua iaitu yang jenis bersilang dan yang kedua biasanya
digunakan pada tradisi perkahwinan suku kaum Rungus di Kudat,” jelas Erllin.
Antara produk daripada manik yang dihasilkan termasuklah gelang, rantai, kerongsang,
balutan pen dan macam-macam lagi.
Mengikut bancian yang dijalankan oleh Kraftangan Malaysia, perusahaan manik
merupakan perusahaan yang paling ramai jumlahnya di Sabah. Justeru ia menjadikan
manik sebagai sumber ekonomi majoriti wanita Sabah.
Penglibatan Kraftangan Malaysia, khususnya dalam program pembangunan usahawan
dan promosi ternyata memberikan nafas baru buat seni warisan Sabah ini. Sekali gus
menjadikan kraf manik sebagai satu seni yang akan terus mengekalkan tradisinya di
negeri yang terkenal dengan jolokan negeri di bawah bayu itu.
Seperti usahawan lain, Erllin turut berharap agar gerai maniknya lebih maju pada masa
depan dan dapat menyertai pameran di luar Kudat dengan lebih banyak lagi.
0 komentar:
Post a Comment