Kuching bakal jadi pusat penyelidikan manik |
Kuching bakal jadi pusat penyelidikan manik
Kerajaan negeri bercadang membangunkan sebuah pusat
penyelidikan manik Borneo di bandar raya ini bagi merancakkan lagi industri tersebut
pada masa depan.
Menteri Pelancongan dan Warisan, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata,
rancangan itu merupakan sebahagian daripada pelan 10 tahun yang digariskan oleh
pihaknya sebagai usaha memperkenalkan manik Borneo ke pasaran antarabangsa.
"Kita mahu melihat bandar raya Kuching terkenal sebagai pusat penyelidikan manik di
rantau ini seperti mana kota Venice, Itali yang popular dengan barangan atau perhiasan
diperbuat daripada gelas.
"Oleh itu, pihak kementerian telah menggariskan rancangan jangka masa panjang
untuk membangunkan hab atau pusat penyelidikan manik Borneo di sini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Persidangan Manik
Antarabangsa Borneo (BIBCo) 2011 yang bakal dianjurkan oleh Crafthub Sdn. Bhd. di
sini, hari ini.
Mengenai persidangan tersebut yang dijadual berlangsung dua hari bermula 7 Oktober
depan, Abang Johari berkata, ia bertujuan mempromosi dan memasarkan produk
kraftangan di negeri ini ke peringkat antarabangsa.
Katanya, BIBCo merupakan landasan terbaik untuk menaik taraf seni kraf tangan
masyarakat pribumi Sarawak, sekali gus menyumbang kepada peningkatan
pendapatan mereka.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Crafthub Sdn. Bhd., Heidi Munan memberitahu,
kira-kira 200 peserta termasuk pakar dalam bidang manik dari tujuh negara termasuk
Afrika Selatan, Australia, Kanada dan India bakal menghadiri persidangan itu.
"Sebanyak 13 kertas kerja mengenai sejarah penemuan awal dan susur galur manik,
kegunaan manik, potensi dan perkembangan teknologi dalam pembuatan manik akan
dibentangkan sepanjang program tersebut," katanya.
0 komentar:
Post a Comment