Tutorial Mudah Menjahit Kain Sarong Kanak-kanak / Sewing Kid's Sarong Easy Tutorial

Tutorial Mudah Menjahit Kain Sarong Kanak-kanak / Sewing Kid's Sarong Easy Tutorial
"Tutorial Mudah Menjahit Kain Sarong Kanak-kanak / Sewing Kid's Sarong Easy Tutorial"

Selamat melayari Laman Zakiah.
Sebuah laman yang saya reka untuk menyatakan sedikit pengalaman dan ilmu yang saya miliki...
Saya sering melayari laman blog yang memuatkan tutorial menjahit yang lengkap dengan gambar dan ayat yang mudah diikuti...
Syabas buat mereka dan saya juga terfikir untuk berkongsi sedikit ilmu yang saya miliki sementelah saya ada sedikit masa kerana sedang menjahit baju sekolah anak sulung saya..
Bukankah curahan ilmu yang bermanfaat ini adalah suatu kepuasan dan sekiranya semakin ramai yang mampu menjahit pakaian mereka dan anak-anak, bukankah ini akan dapat membantu menjimatkan lebih banyak sumber kewangan.
Untuk tutorial permulaan ini, saya ingin berkongsi cara mudah untuk menjahit kain baju kurung kanak-kanak...
Mungkin cara saya ini tidak menepati skema jahitan yang sebenar kerana saya tidak memiliki sebarang tauliah dalam jahitan namun pengalaman secara tidak langsung belajar menjahit daripada abah, emak, rakan-rakan, makcik-makcik, kakak-kakak dan laman internet yang saya praktikkan selama ini ingin sekali saya perturunkan buat semua yang sudi membaca tutorial ini...


Teringat saya dahulu, jika abah dan emak menjahit menjahit baju saya, saya sungguh teruja sekali dan akan memerhatikannya dengan perasaan gembira....Dari situ saya mula belajar, tambah pula minat menjahit memang ada.
Namun bila saya sudah mula menjahit baju2 saya sendiri....saya rasa kekok untuk menjahit di hadapan abah...hihihi kerana abah sangat kemas jahitannya.
Kenapa saya panggil cara ini cara mudah? Kerana biasanya kain kanak-kanak tidak perlu dijahit zip kerana ini memudahkan mereka untuk memakainya sendiri.


Langkah Pertama:
1) Ambil contoh kain baju kurung yang selesa dipakai oleh si pemakai.Oleh kerana anak-anak saya cepat tinggi...Biasanya saya akan lebihkan lagi panjang kain tersebut....


Langkah Kedua
2) Bentangkan contoh kain tersebut di atas material yang telah dibeli... Pastikan lipatan rumpulnya juga dibentangkan supaya lebar lipatan rumpul juga dikira. Dalam contoh gambar ini, saya membeli kain kapas untuk menyediakan kain baju sekolah kebangsaan (biru tua) dan kain baju sekolah KAFA (hijau)....
Kain kapas ini saya beli di Kedai Perniagaan Lim di Pendang dengan harga RM2.50 semeter dan untuk untuk setiap warna, saya telah membeli 6 meter untuk menjahit 5 helai kain baju kurung untuk setiap satu warna.
Langkah Ketiga

3) Potong kain dengan berhati-hati. Panjang kain perlu dilebihkan untuk menjahit getah kain dan lipatan di bawah kain. Biasanya saya akan letakkan getah di atas kain dan melebihkan ukuran untuk menjahit getah kain mengikut lebar getah kain tersebut.



Langkah Keempat

4) Cantumkan hujung kain. Oleh kerana saya tidak mahu menghantar kain-kain ini ke kedai untuk dijahit tepi kerana mahu cepat siap, maka saya menjahitnya dua kali iaitu yang pertama, cantumkan tepi kain dari bahagian hadapan kain. Kemudian terbalikkan jahitan tersebut dan jahit sekali lagi seperti gambar di bawah. Dengan cara ini, jahitan kita lebih kemas dan lebihan benang di tepi kain tidak akan tertarik.


Langkah Kelima

5) Jahit bawah kain. Ada beberapa jenis jahitan yang sering saya buat iaitu sama ada jahitan biasa yang dijahit dua kali pada bawah kain atau jahitan zigzag. Sekarang saya memang lebih gemar menjahit zizgzag sahaja di bawah kain kerana lebih mudah dan cantik.Caranya lipat sedikit kain di bahagian bawah....Biasanya saya gunakan bahagian kain yang ada lubang kecil-kecil itu. Jahit zigzag menggunakan benang yang sama warna dengan kain.


Langkah Keenam


6) Langkah ini sangat penting kerana ia menentukan keselesaan kain iaitu melipat rumpul. Lipat satu persatu dengan saiz yang sama iaitu seperti kita melipat kipas kertas. Pinkan rumpul yang telah siap.



Langkah Ketujuh

7) Jahit bahagian atas rumpul (tepi) tersebut supaya rumpul tidak lari apabila kita menjahit getah nanti.



Langkah Kelapan

8) Jahitkan getah kain di bahagian atas kain (bahagian pinggang) yang telah siap dijahit rumpulnya. Oleh kerana kain-kain ini tidak dijahit tepi maka saya perlu sembunyikan hujung kain yang dipotong ke bahagian dalam sebelum menjahit getah supaya benang tidak tertarik. Jahitkan hujung getah dahulu supaya getah tidak lari.


Keterangan gambar:
Mengagak lebar jahitan getah kain dengan meletakkan getah di atasnya.

Keterangan gambar: Jahitkan hujung getah di atas bahagian tersebut (garisan hitam)




Keterangan gambar:

Jahitkan getah mengikut garisan putih sehingga keseluruhan 9/8 bahagian pinggang telah dijahit. Jangan potong dahulu lebihan getah tersebut. Ukur lebar pinggang anak yang selesa untuknya, potong dan jahit hujung getah seperti tadi dan habiskan menjahit di bahagian pinggang.



Langkah saya ini agak berlainan daripada yang diajar oleh abah saya kerana seperti yang saya katakan saya mahu cepat siap. Namun kita perlu berhati2 supaya getah tidak terjahit bersama pada kain. Cara yang diajar oleh abah saya ialah jahit dahulu ukuran getah pada pinggang kain, barulah masukkan getah dengan menggunakan pin. Terpulang langkah mana yang selesa diikuti.


Langkah Kesembilan
9) Tarik bahagian pinggang dan pastikan kerutan di pinggang adalah sekata dan jahit tengah getah tersebut.

Dah siap!!!!!!!!!!!!
Senang kan??????????
Jika tutorial ini agak kurang jelas untuk diikuti.... saya mengalu-alukan soalan2 anda.....Dengan berbesar hati saya akan cuba menjelaskannya dengan lebih baik.

Selamat mencuba!!!!!

sumber : http://zakiahags.blogspot.com/2009/12/tutorial-mudah-menjahit-kain-sarong.html

0 komentar:

Post a Comment