Kreativiti Yati hasilkan ikatan manik
Kreativiti Yati hasilkan ikatan manik |
SENI kraftangan merupakan hasil tangan
yang memerlukan kreativiti. Keunikan
sesuatu kraftangan itu boleh dinilai
menerusi ketelitian serta tahap kesukaran ia
dihasilkan.
Semakin banyak rintangan serta kesukaran
dilalui, semakin tinggi nilai sesuatu
kraftangan itu.
Bagi peminat seni mengikat permata
menggunakan dawai, Ainol Hayati Dahlan,
kedua-dua elemen itu adalah cabaran
utamanya dalam menyalurkan kreativiti.
Sememangnya minat anak gadis ini
kelihatan remeh, leceh dan membuang
masa tetapi bagi Yati adalah sebaliknya.
''Saya meminati seni mengikat perhiasan
menggunakan dawai sejak 2007. Ketika itu
saya baru selesai mempelajari jenis
mengikat permata menggunakan tali tangsi.
''Saya lihat kaedah mengikat dawai ini lebih
kukuh dan stabil,'' katanya yang kemudian
memindahkan peraturan mengikat permata
dengan tali tangsi kepada dawai pula.
Bertitik tolak dari situ, minat Yati tertarik untuk menghasilkan lebih banyak barangan
perhiasan wanita berasaskan permata atau manik seperti cincin, gelang, rantai, loket,
subang, kerongsang, cucuk sanggul dan pin tudung. Daya kreativitinya turut
dikembangkan dengan menghasilkan cenderahati menggunakan pendekatan yang
sama.
Ternyata hasil tangan Yati mendapat pujian di kalangan ahli keluarga dan rakan
terdekat. Mereka terpesona dengan perhiasan yang boleh dipadankan dengan pakaian.
Bertitik tolak dari situ juga, Yati mempelajari lebih banyak reka bentuk yang
menampilkan keunikan tersendiri berbanding barangan perhiasan di pasaran.
Dia mengambil inisiatif mempelajari seni mengikat dawai di Internet. Rujukan di
beberapa laman web terutama daripada Amerika Syarikat (AS) seperti
www.enioken.com memberi idea untuk menambah baik perhiasan yang sedia ada.
''Menerusi laman web berkenaan, saya belajar teknik mengikat, menyimpul dan
mencantikkan sesuatu barangan berkenaan. Semua itu dipelajari menerusi arahan
yang diberikan satu demi satu. Apa yang penting adalah asas ikatan dan kemudiannya
boleh mempelbagaikan bentuk yang diingini," katanya yang sanggup melayari Internet
sehingga enam jam untuk menyiapkan hasil kerja.
Graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu juga
tidak kisah untuk mengeluarkan sedikit belanja untuk membeli dawai dan manik khas
yang juga dipesan menerusi Internet.
Disebabkan minat yang mendalam itu, anak kelahiran Gemencheh, Negeri Sembilan itu
juga sanggup berhenti kerja sebagai pembantu jurutera di sebuah syarikat swasta untuk
menumpukan perhatian dalam seni kraf yang diminatinya itu.
Apa yang lebih penting, anak kedua daripada empat beradik ini mendapat restu
daripada suaminya, Salem Abdul Khalid, 36, yang turut mengeluarkan perbelanjaan
untuk menyempurnakan keinginan isterinya.
0 komentar:
Post a Comment